PETALING JAYA – Perkhidmatan telekomunikasi bagi pelanggan yang terjejas akibat kebakaran di tapak menara telekomunikasi di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak semalam telah pulih sepenuhnya.
Maxis Bhd dalam kenyataan berkata, pemulihan perkhidmatan dilaksanakan secara berperingkat sebelum kembali normal sepenuhnya pada pukul 1.03 pagi hari ini, melibatkan semua perkhidmatan yang dikongsi menerusi pengaturan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN).
“Selepas pengesahan bahawa struktur menara kekal selamat, pasukan teknikal kami segera menggantikan peralatan radio yang rosak.
“Langkah ini membolehkan sambungan ke tapak terjejas serta empat tapak lain yang berkaitan dipulihkan sekali gus menyelesaikan gangguan perkhidmatan melibatkan kira-kira 3,000 pelanggan di kawasan sekitar dan pengguna lebuh raya,” kata kenyataan itu hari ini.
Maxis berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta pihak berkuasa berkaitan bagi menyiasat punca kebakaran tersebut.
Menurutnya, syarikat telekomunikasi itu turut mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam berhubung insiden berkenaan.
Katanya, komitmen berterusan untuk mengekalkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian pada standard tertinggi.
“Kami akan terus mematuhi protokol penyelenggaraan yang ketat, menjalankan pemeriksaan teknikal secara berkala serta memastikan pemantauan berterusan terhadap infrastruktur rangkaian,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kebakaran sebuah menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak mengakibatkan gangguan liputan perkhidmatan telekomunikasi melibatkan beberapa syarikat telco utama.
Akibat insiden berkenaan, pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile dilaporkan mengalami gangguan liputan di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar. – KOSMO! ONLINE














