Saudara Pengarang,
Sebagai seorang pendidik yang telah lebih dua dekad menabur ilmu, saya terpanggil untuk menzahirkan sedikit luahan hati kepada para ibu bapa yang kini kecewa kerana anak tidak diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Saya memahami perasaan itu. Hancur harapan, luluh jiwa, malah ada yang merasakan seolah-olah masa depan anak mereka gelap serta-merta hanya kerana satu keputusan sistem.
Namun, izinkan saya menyatakan dengan jujur bahawa ‘kegagalan’ ini bukanlah penamat kepada sebuah perjalanan, tetapi sebagai satu ujian awal di peringkat persekolahan.
Setiap tahun, ribuan pelajar cemerlang bersaing untuk tempat yang terhad.
Hakikat ini bermakna bukan semua yang baik akan terpilih, dan bukan semua yang tidak terpilih itu gagal atau kurang nilai.
Sistem hanya memilih berdasarkan kriteria tertentu, bukan keseluruhan potensi seorang insan.
Sebagai pendidik, saya bimbang apabila kekecewaan ini akhirnya dipindahkan kepada anak-anak dalam bentuk tekanan, sindiran atau bandingan.
Percayalah, kecemerlangan tidak lahir daripada nama sekolah semata-mata, tetapi daripada sikap, disiplin dan sokongan yang berterusan.
Sejarah telah membuktikan ramai tokoh berjaya lahir dari sekolah harian biasa, malah ada yang pernah melalui episod kegagalan dalam hidup mereka.
Akhir kata, saya menyeru para ibu bapa agar memeluk anak-anak ini dengan lebih erat, bukan dengan rasa kecewa tetapi dengan keyakinan.
Katakan kepada mereka bahawa pintu mungkin tertutup hari ini, namun banyak lagi jendela yang menanti untuk dibuka.
Pendidik Tua
Shah Alam














