ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Lebuhraya Linkedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Azlan Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.20 malam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan mangsa berusia 33 tahun yang juga warga tempatan.
“Seramai 51 anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi SAR termasuk Pasukan Gerakan Marin, Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.
“Operasi mencari mangsa masih diteruskan dengan menggunakan bot. Pada awalnya kes disiasat sebagai orang hilang (OH) dan polis masih mengesan maklumat keberadaan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486.-KOSMO! ONLINE














