GOMBAK – Isu nafkah dikatakan menjadi punca seorang lelaki bertindak agresif terhadap bekas isteri dan anaknya dalam kejadian di Taman Scientex, Kundang Jaya di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima laporan daripada bekas isteri suspek pada pukul 8.33 pagi tadi.
Menurutnya, kejadian melibatkan seorang suspek berusia 34 tahun dengan bekas isteri dan anak kandungnya.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham berkaitan isu nafkah melibatkan suspek ketika lelaki itu menghantar anak ke rumah mangsa.
“Dalam kejadian itu, suspek bertindak agresif terhadap mangsa dan turut menolak anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun sehingga terjatuh. Kanak-kanak itu mengalami luka di bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Kaderi berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Sksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18a Akta Keganasan Rumah Tangga.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Amirul Mohd. Sharit di talian 016-6740989.
Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan pertengkaran antara seorang lelaki dan wanita di hadapan sebuah rumah. Turut kelihatan anak pasangan itu yang menangis dipercayai terjatuh akibat ditolak. – KOSMO! ONLINE














