PETALING JAYA – Setiap kejayaan pasti ada cerita di sebaliknya dan ia bukan diukur dari segi angka jualan dan produk canggih tetapi memerlukan sokongan serta keberanian, kebaikan selain impian yang perlu dicapai.
Itulah yang diamalkan oleh Pengasas GVT Sdn Bhd (Go Auto), Wan Ahmad Wan Omar yang selama ini berada di balik tabir tetapi pencapaiannya dalam dunia korporat ini menjadi kebanggaan masyarakat dan juga negara.
Usahawan yang memiliki latar belakang sebagai jurutera itu pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pengasas projek kereta nasional kedua Malaysia, Perodua, namun minatnya lebih teruja untuk membuka perniagaan sendiri telah membuahkan kejayaan kepadanya untuk membangunkan kilang kenderaan.
Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun dalam dunia automotif, Wan Ahmad membuat keputusan berani dengan meninggalkan kerjaya korporat yang selesa itu tetapi meneroka dunia baharu lebih berani untuk menubuhkan empayar perniagaannya sendiri.
Langkah kanannya itu berhasil sehingga Go Auto berjaya mengeluarkan hampir 10,000 van, bas dan trak petrol, diesel bahkan kenderaan elektrik (EV) dan terkini ia fokus membangunkan EV selari dengan aspirasi hijau dan kelestarian alam sekitar.

“Hampir 80 peratus daripada komponen kenderaan yang disiapkan di kilang kami memiliki komponen yang dibuat di Malaysia.
“Lebih menarik, van komersial EV keluaran kami adalah yang pertama dihasilkan oleh syarikat bumiputera dan bukan sekadar prototaip malah ia telah digunakan di lapangan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Syarikat tersebut bukan sahaja menguasai pasaran domestik tetapi beliau telah berjaya membawa syarikatnya ke pentas antarabangsa dengan projek eksport kereta bugi EV ke Amerika Syarikat, lengkap dengan teknologi seperti sistem solar, GPS, kamera undur, TV dan sistem telematik.
Selain itu, syarikatnya juga telah dilantik sebagai rakan pemasangan dan pengedar bagi dua jenama kenderaan komersial terbesar China, iaitu Yutong dan Higer.
Bukan itu sahaja, syarikatnya juga menjadi pengedar untuk produk Sky Train dan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan teknikal syarikat tempatan.
Di samping itu, Go Auto turut menjadi pembekal kenderaan kepada pelanggan institusi dan korporat utama seperti Prasarana Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad serta beberapa agensi kerajaan dan organisasi swasta lain.
Sepanjang perjalanan kerjayanya itu, Wan Ahmad yang merupakan anak didik mentor usahawan, Datuk Dr. Azizan Osman itu tidak hanya memfokuskan kepada angka jualan atau teknologi semata-mata, tetapi lebih mengamalkan elemen keberkatan dalam perniagaannya.
Lebih diutamakan adalah pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan dan antaranya adalah mewakafkan lebih 20 buah van jenazah kepada masjid dan surau di samping sumbangan tahunan 2,000 kampit beras kepada golongan memerlukan.
Terbaharu, usahawan ini mewakafkan kereta bugi EV sebagai tanda kesyukuran untuk kegunaan sebuah madrasah di Sungai Petani. -KOSMO! ONLINE














