PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihati individu memuat naik keratan berita palsu di media sosial yang mendakwa kononnya TikTok Malaysia akan ditutup kerana merugikan negara supaya insaf.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Fahmi mengulas hantaran tular bertajuk ‘TikTok Malaysia akan ditutup kerana ia merugikan negara kita – Fahmi Fadzil’ yang di muat naik oleh individu terbabit.
“Jangan jadikan fitnah makanan ruji harian,” katanya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak media terlibat turut mengeluarkan kenyataan hari ini menafikan penghasilan tajuk berita tersebut.
Menurutnya, hantaran berkenaan yang mengaitkan Fahmi dengan isu TikTok adalah palsu, direka dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Tangkap layar tular itu fitnah semata-mata dan bukan daripada saluran rasmi kami,” kata kenyataan itu yang turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat. – KOSMO! ONLINE














