PETALING JAYA – Seorang pemuda dari Papar, Sabah tidak menyangka penghijrahannya menjadi lelaki sejati selepas tidak tahan dikecam masyarakat membawa perubahan positif.
Nadzri Marsan Askalani Aslad, 21, yang mempunyai sejuta pengikut di TikTok menjadi tumpuan kerana wajahnya yang kacak berbanding imej wanita yang dibawanya sebelum ini.
Pencipta kandungan yang pernah mencetus fenomena dengan trademark ‘lima puluhhhh’ itu mengakui awalnya dia berubah menjadi lelaki sejati pada Disember tahun lalu kerana tidak tahan dikecam orang ramai.
“Sejak kecil hingga menginjak dewasa, saya cenderung berkawan dengan perempuan, jadi saya terikut-ikut berhias seperti mereka.
“Keputusan untuk ‘berhijrah’ dibuat pada penghujung tahun lalu apabila saya membuat keputusan sukar untuk memotong rambut yang ‘disimpan’ selama lima tahun,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, sejak berubah menjadi seperti lelaki lain, dia mula menerima komen positif dan selesa dengan penampilan baharu tersebut.
Bercerita mengenai kisah silamnya, Nadzri berkata, dia kerap dibuli dan dihina seolah-olah tidak mempunyai masa depan dan memalukan keluarga lebih-lebih selepas memuat naik video di media sosial.
“Tetapi saya tetap percaya bahawa saya boleh berubah sedikit demi sedikit. Transformasi ini menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan hidup saya kerana sejak kecil sampai dewasa, saya selalu dihantui kata-kata orang tentang siapa yang saya sepatutnya jadi,” luahnya.
Nadzri berkata, perubahan menjadi lelaki sejati tidak datang dengan sendirinya, tetapi berkat sokongan rakan-rakan yang memberi dorongan dan keyakinan kepadanya.
“Hari demi hari, saya mula yakin dengan versi baharu ini. Sekarang saya berasa selesa dengan diri saya. Ramai yang kata saya nampak hebat dengan penampilan baharu ini.
“Tanpa mereka (kawan-kawan), mungkin saya masih takut untuk keluar daripada bayang-bayang lama,” katanya.
Nadzri berkata, perubahan yang dilakukannya itu tetap berdepan cabaran terutama penerimaan masyarakat, namun dia kini lebih yakin, tenang dan mula memahami bahawa tidak perlu berubah untuk orang lain selain menjadi diri yang sebenar.
“Kerjaya sebagai content creator juga semakin berkembang, baik dalam content, mahupun perniagaan. Satu juta pengikut di TikTok setia menyokong saya dari dulu sampai sekarang.
“Kehidupan saya kini menjadi lebih baik. Saya baru membeli sebidang tanah di kampung halaman dan bercadang untuk membina rumah demi keselesaan keluarga.
“Walaupun ramai yang kecam, saya tidak ambil hati sebab itu adalah hasil kerja keras saya sebagai pencipta kandungan menjadi hadiah terbaik selepas penghijrahan saya,” ujarnya.














