PETALING JAYA – Bukan lagi rahsia, bekas suami Nora Danish yang juga usahawan popular, Nedim Nazri dilihat semakin terbuka berkongsi hubungan cintanya dengan pelakon, Nadia Brian apabila memuatnaik foto saling berpegangan tangan dalam media sosial.
Lebih manis, Nedim atau juga dikenali sebagai Boss Ned turut menulis kapsyen romantis untuk kekasih hatinya itu.
“Dalam fikiran saya, awak yang paling saya suka,” tulisnya dalam satu perkongsiannya semalam.
Sementara Nadia pula turut mengulangsiar perkongsian tersebut dan meninggalkan komen ucapan terima kasih dan emoji hati merah buat Nedim.
Perkongsian tersebut seterusnya meraih pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menyokong hubungan mereka selain mendoakan agar berakhir hingga ke jenjang pelamin.
“Semoga kalian berdua naik pelamin cepat-cepat.
“Nedim dan Nadia layak untuk bahagia, tumpang gembira!” komen netizen.
Sebelum ini, Nedim dan Nadia menjadi perhatian ramai selepas mereka saling berkongsi foto bersama dalam akaun media sosial.
Nadia juga pernah memberitahu hubungan mereka ketika ini dalam fasa mengenal hati budi selain menyifatkan Nedim sebagai lelaki penyayang.
Terdahulu, Nedim pernah mendirikan rumah tangga dengan Nora pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Neyqal sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.
Sementara Nadia pula pernah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun berpisah pada April 2021. – KOSMO! ONLINE














