PETALING JAYA – Rasa bangga dengan pencapaian anak adalah perkara biasa bagi ibu bapa. Namun, bukan semua ibu bapa sedar bahawa anak bukan sekadar trofi untuk dibanggakan.
Menurut Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran di media sosial, anak perlu dilihat sebagai anugerah, bukannya projek yang mesti sempurna.
“Anak ialah anak. Anak ialah anugerah. Bila kita faham anak itu anugerah, kita akan mula nampak dia sebagai manusia yang ada keistimewaan sendiri, bukan projek yang mesti jadi sempurna,” katanya.
PHM menekankan bahawa kejayaan anak adalah kejayaan mereka sendiri dan ibu bapa hanya berperanan sebagai penyokong.
“Peranan ibu bapa cantik sebenarnya. Kita bukan juri, bukan pengurus reputasi. Kita ialah pendorong. Kita ialah tempat anak balik bila penat. Kita ialah doa yang anak tak nampak, tapi selalu rasa.”
“Setiap anak ada musimnya. Ada jalan yang Tuhan beri. Kita cuma temankan.”
Tambahnya, hubungan yang kukuh antara ibu bapa dan anak lebih bernilai daripada sijil atau pingat.
“Anak bukan trofi. Anak adalah anugerah. Dan anugerah paling cantik bila kita jaga dengan kasih dan amanah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














