SEREMBAN – Seorang warga emas maut apabila motosikal ditungganginya keluar secara mengejut sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dalam kemalangan di Jalan Tun Dr. Ismail sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pada pukul 8.55 malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 70 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di muka dan kepala.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Suzuki FC yang ditunggang oleh mangsa telah keluar simpang secara mengejut dari sebelah kiri arah Jalan Sri Amber 1 menuju ke jalan utama iaitu Jalan Tun Dr. Ismail.
“Pada waktu sama sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang bergerak terus di Jalan Tun Dr. Ismail tidak dapat mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azahar berkata, akibat pelanggaran mangsa penunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa penunggang motosikal telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














