PORT DICKSON – Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) mengesahkan tidak menerima sebarang aduan mengenai kejadian ‘udang galah mabuk’ di Linggi, di sini, seperti yang tular di media sosial beberapa hari lalu.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada nelayan berhampiran, namun pemantauan dilaksanakan dari masa ke masa.
“Berdasarkan gambar tular, hanya nampak sampah sahaja, tiada nampak udang galah di situ. Semakan kami dari nelayan sana tiada kes udang mabuk di lokasi tular berkenaan.
“Bagaimanapun, berkemungkinan disebabkan hujan lebat beberapa hari ini, kemungkinan sampah dari hulu turun menyebabkan gambar berkenaan tular,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, semalam.
Terdahulu, tular di media sosial WhatsApp dengan gambar sampah sarap banyak tersekat di jambatan Sungai Linggi serta kapsyen kejadian ‘udang galah mabuk’.
Sementara itu, penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Aini, 50, berkata, keadaan sampah sarap penuh boleh dilihat sekiranya hujan lebat di kawasan hulu sungai seperti di Seremban, bagaimanapun, tinjauan pada pagi ini mendapati sungai sudah dibersihkan.
“Tindakan pantas ini sekurang-kurangnya mengurangkan risiko berlakunya kejadian pencemaran sungai serta kemungkinan kejadian udang galah mabuk berulang kembali pada tahun 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE














