PASIR MAS – Hajat seorang penternak ikan untuk bertemu mata dan menziarahi cucu di Kuantan, Pahang hari ini tidak kesampaian apabila dia disahkan meninggal dunia selepas terkena serangan jantung semasa memberi makanan kepada ikan keli di dalam sangkar miliknya di Kampung Padang Lati di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Allahyarham Mohd. Suffian Mohamed, 55, terjatuh ke dalam sangkar ikan itu sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian semasa dirawat di Hospital Pasir Mas di sini.
Isteri mangsa, Ruzaini Muhammad, 57, berkata, suaminya yang kritikal dibawa ke Hospital Pasir Mas di sini sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 7.15 malam akibat serangan jantung.
Menurutnya, dia mengesyaki suaminya tidak cukup tidur sehingga menyebabkan arwah pening sebelum terjatuh di dalam sangkar ikan apabila terkena serangan jantung.
“Kali terakhir arwah suami mengalami serangan jantung semasa kami mengharung bah kuning pada 2014 yang lalu. Selain itu, dia juga baru disahkan menghidap penyakit batu karang.
“Kami sepatutnya pergi ke rumah anak di Kuantan hari ini. Arwah berhajat sangat untuk menziarah cucu pertama kami yang berusia tiga bulan. Dia juga sering mengusap-usap gambar cucu kami di dalam telefon bimbitnya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kepas Apam Lati di sini hari ini.
Ruzaini memberitahu, dia juga sudah menyewa sebuah kereta untuk ke Kuantan, namun perancangan itu terpaksa dibatalkan selepas arwah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE














