RANTAU PANJANG – Taktik penyeludup yang menjadikan sebuah rumah kosong sebagai lokasi transit untuk menyimpan 5,710 karton rokok terbongkar dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Pasir Panji dekat Tanah Merah, tiga minggu lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa serbuan dijalankan, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang terpaksa memecah pintu rumah berkenaan kerana kediaman tersebut berkunci dan tidak berpenghuni.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan 5,710 karton yang berisi sebanyak 1.142 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM950,070 termasuk cukai
“Siasatan lanjut mendapati, rumah tersebut dipercayai dijadikan sebagai transit untuk menyimpan rokok-rokok tersebut selepas diseludup dari negara jiran.
“Sindiket penyeludupan menjadikan rumah kampung sebagai tempat untuk simpan rokok seludup yang bernilai RM950,070 sebelum ia dijual ke pasaran negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang di sini semalam.
Jelasnya, JKDM Kelantan masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik rumah tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














