GEORGE TOWN – Seorang lelaki nyaris maut apabila terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah teres di Jalan Ahmad Baba, Tanjung Bungah di sini, hari ini.
Mangsa berusia 50 tahun ditemukan dalam keadaan lemah di bilik air rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan berhubung kejadian berlaku, kira-kira pukul 9.37 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Jalan Perak.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah sebanyak 60 peratus. Terdapat seorang mangsa yang terperangkap di dalam bilir air.
“Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 9.54 pagi tadi dan mangsa telah berjaya dikeluarkan pada 10.12 pagi. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap dua,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, kerja-kerja ‘overhall’ telah dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.33 tengah hari tadi.-KOSMO! ONLINE














