fbpx
Jika kandungan bancuhan kopi dan air sudah seimbang, air kopi yang mendidih akan keluar dengan sendiri daripada corong cerek tanpa perlu dituangkan secara fizikal.

Kopi cerek gamit nostalgia cara lama pekena kopi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PESONA alam semula jadi dengan iringan bunyi kicauan burung dan deruan air sungai membuatkan suasana kedai makan Kopi & Keju terasa nyaman serta tenang.

Menjadi lokasi pilihan golongan anak muda di ibu kota, premis yang terletak di Jalan Kolam Air, Taman Melawati, Selangor memiliki identiti tersendiri menerusi asimilasi menu popular masa kini dan nostalgia kopi kampung.

Bagi memberikan elemen tarikan, pemiliknya, Abdul Ghoffar Md. Noor bersama isteri, Idayu Raty Razali membawakan kelainan yang jarang ditemui sementelah di tengah lambakan kafe berkonsepkan minuman kopi.

Sesuai dengan namanya Kopi & Keju, minuman kopi cerek yang menjadi simbol tradisi secara tidak langsung mengimbau memori cara orang lama menikmati hidangan itu suatu ketika dahulu.

Menambah rasa keaslian autentik, Abdul Ghoffar menggunakan kopi Kedah yang diproses secara tradisional (ditumbuk) oleh usahawan desa di negeri Jelapang Padi itu.

“Idea memperkenalkan kopi cerek tercetus apabila saya melihat trend kopi barista yang semakin mendominasi pasaran dan boleh dikatakan kedai kopi ini tumbuh seperti cendawan terutama di Taman Melawati.

“Disebabkan terlalu banyak kopi barista, jadi saya ingin tampil berbeza iaitu kopi cerek yang mungkin ada segelintir generasi masa kini yang belum pernah melihat penyediaan kopi cerek,” katanya kepada CitaRasa.

Bancuhan minuman yang menjadi signatur Kopi & Keju itu bermula dengan serbuk kopi diletakkan di dalam cerek bersama air dan dimasak menggunakan kayu api.

ABDUL GHOFFAR menunjukkan seleksi hidangan yang ditawarkan di Kopi & Keju yang terletak di Jalan Kolam Air, Taman Melawati, Selangor.

Jika kandungan bancuhan kopi dan air seimbang, air kopi yang mendidih akan keluar dengan sendiri daripada corong cerek tanpa perlu dituangkan secara fizikal.

Momen itu secara tidak langsung menjadi salah satu tarikan unik khususnya golongan belia yang belum pernah menyaksikan sendiri bagaimana penyedian kopi cerek dilakukan.

Minuman kopi kampung boleh dipesan sama ada set untuk dua atau empat orang yang turut didatangkan bersama kepingan biskut kering dicicah bersama minuman atau menikmati bersama nasi lemak.

Menariknya, pengunjung juga boleh memilih pelbagai konsep hidangan nasi lemak seperti nasi lemak chicken chop atau nasi lemak lamb chop yang disertakan bersama sos kuah ‘rahsia’ pasti akan membuka selera sesiapa sahaja yang merasainya.

Menggandingkan gaya klasik itu dengan variasi hidangan ala Barat dan Korea, Kopi & Keju menawarkan hidangan seperti chicken chop, lamb grill, fish & chip, bebola daging dan ayam goreng Korea.

PREMIS Kopi & Keju turut menawarkan pemandangan sungai yang mendamaikan

Ada juga burger ayam Korea, prosperty burger, ramen bebola daging, ramen ayam Korean, ramen chicken chop, ramen kambing panggang dan mi sedap. Tidak terkecuali variasi minuman teh hijau turut menjadi pilihan di samping matcha strawberi, match beri biru dan matcha coklat

Walaupun baru beroperasi sekitar lapan hingga sembilan bulan, kafe ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Memiliki kapasiti sehingga 300 hingga 400 kerusi pada satu-satu masa, ia mampu menampung kehadiran pengunjung yang ramai, namun bergantung kepada keadaan sungai.

“Keselamatan pengunjung menjadi keutamaan kami dan jika air Empangan Klang Gate dilepaskan, kawasan tebing ini terhad kepada sekitar kurang 250 orang.

“Demi memastikan kawasan sekitar bersih dan bebas benda asing, sebelum beroperasi sekitar pukul 4 petang kami akan membersihkan sekitar sungai dan mengutip sampah.

“Kawasan ini juga dilarang sama sekali untuk berkelah atau melakukan barbeku bagi mengelakkan sampah dan sisa makanan dibuang sesuka hati,” katanya.

Premis yang beroperasi bermula pukul 4 petang menerima pesanan makanan terakhir pada 2 pagi, manakala pelanggan dibenarkan berada di situ sehingga mereka ingin pulang tanpa ada had waktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN