TEHRAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberi amaran dalam satu wawancara yang diterbitkan kelmarin bahawa Amerika Syarikat (AS) Israel dan Eropah sedang melancarkan perang total terhadap negaranya.
“Pada pendapat saya, kita berada dalam perang sepenuhnya dengan AS, Israel dan Eropah. Mereka mahu menjatuhkan negara kita,” kata Pezeshkian.
Beliau berkata demikian kepada laman rasmi pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, enam bulan selepas Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran.
Perancis, Britain dan Jerman menjadi dalang penguatkuasaan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran pada September lalu yang berkaitan dengan program nuklear Tehran.
“Perang ini lebih buruk daripada perang yang dilancarkan terhadap kita oleh Iraq.
“Jika diteliti dengan lebih dekat, ia jauh lebih kompleks dan sukar,” tambah beliau, merujuk kepada konflik 1980-1988 antara negara dua jiran itu yang meragut ratusan ribu nyawa.
Washington dan sekutunya menuduh Iran berusaha memperoleh senjata nuklear, tuduhan yang berulang kali dinafikan oleh Tehran.
Israel dan Iran yang merupakan musuh ketat terlibat dalam perang selama 12 hari pada Jun lalu.
Perang itu dicetuskan oleh serangan Israel yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas tapak ketenteraan dan nuklear Iran serta kawasan awam.
Menurut pihak berkuasa Iran, serangan itu mengakibatkan lebih 1,000 korban manakala AS kemudian menyertai operasi dengan mengebom tiga tapak nuklear.
Sejak kembali ke White House pada Januari lalu Presiden Donald Trump telah menghidupkan semula dasar yang dikenali sebagai tekanan maksimum ke atas Iran, yang dimulakan semasa penggal pertamanya.
Dasar itu termasuk sekatan tambahan yang direka untuk melumpuhkan ekonomi Iran dan menghentikan hasil jualan minyaknya di pasaran global. – AFP














