JERANTUT – Ketika kejadian terserempak harimau belang kurus dan lapar di Jeram Membatu, Ulu Tembeling bulan lalu masih menghantui penduduk, kini penduduk kembali resah apabila haiwan liar itu dipercayai membaham seekor lembu bunting di Kampung Terus, berdekatan Kampung Bantal Seberang di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam itu, seorang penternak, Izzuddin Khaliq, 60, mendapati seekor daripada tujuh ekor lembu yang diternaknya hilang di sebuah kebun getah.
“Saya terkejut apabila mendapati seekor lembu betina bunting daripada tujuh ekor ternakan hilang ketika hendak memberi makan di kawasan kebun getah lalu bergegas terus mencari di sekitar kawasan berdekatan.
“Tidak berapa jauh dari kawasan kawanan lembu ternakan, saya terkejut mendapati lembu betina berkenaan sudah mati dengan kesan kecederaan kemungkinan dibaham seekor harimau,”katanya di sini hari ini.
Menurut Izzuddin, dia melihat terdapat kesan kecederaan dan luka anggota badan haiwan ternakan itu di bahagian tengkuk dan punggung serta penuh kesan cakaran dan gigitan harimau.
Katanya, ekoran kejadian dia mengalami kerugian hampir RM4,000 akibat kematian lembu betina yang dipelihara sejak 2014 yang dijangka melahirkan anak dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE














