fbpx
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis kepada Abu Bakar di Istana Arau, hari ini. Foto oleh IZLIZAN OTHMAN

Fikir dalam-dalam kebaikan negeri – Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini bersatu semula demi kepentingan rakyat dan negeri.

Baginda bertitah supaya semua wakil rakyat dalam Perikatan Nasional (PN) menerima hakikat bahawa mereka perlu bekerjasama dan saling membantu.

“Saya tanya juga wakil rakyat sebentar tadi, antara dua parti ini macam mana nak perapat balik supaya bekerja sebagai satu, bukan renggang.

“Dalam PN ini kena terima hakikat kerja secara bersama untuk kepentingan negeri dan rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau, di sini hari ini.

Titah Tuanku Syed Sirajuddin, pada baginda, PN itu adalah satu parti dan tiada perbezaan antara Pas dan Bersatu.

Baginda bertitah, hasil pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebentar tadi, kebanyakan wakil rakyat memaklumkan menyerahkan kepada baginda untuk membuat pilihan serta sanggup menerima siapa sahaja.

Titah Raja Perlis, keputusan untuk melantik Menteri Besar baharu itu bukan mudah dan memerlukan baginda memikirkannya secara mendalam.

“Fikir dalam-dalam untuk kepentingan dan kebaikan negeri dan pembangunan negeri pada masa akan datang,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin dalam titah sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli sepanjang menjalankan tugas itu selama tiga tahun.

“Allah sahaja yang tambahkan pahala. Saya tahu ada yang rasa dukacita dan berseronok tetapi lupakanlah, bersatu balik. Ingat kepentingan rakyat dan negeri,” titah baginda.

Baginda turut bertitah supaya semua pihak menghentikan segala spekulasi termasuk tohmahan dan tuduhan demi kebaikan negeri selepas pelantikan Menteri Besar baharu itu.

“Majlis istiadat ini sepatutnya berlaku dekat lima tahun sekali, ini di Perlis kali pertama sebab Menteri Besar letak jawatan atas sebab kesihatan dan terpaksa lantik Menteri Besar baharu, itu yang pokok.

“Tetapi malangnya bermacam-macam spekulasi berlaku dan bermacam-macam tohmahan, tuduhan dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, disebut. Saya harap lepas ini berhentilah semua untuk kebaikan negeri. Kita nak negeri ini mara ke hadapan,” titah baginda.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan tanda tanya siapa Menteri Besar Perlis yang baharu terjawab apabila ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dari Bersatu mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Arau, di sini hari ini.

Beliau menggantikan Mohd. Shukri, ADUN Sanglang dari Pas yang meletakkan jawatan pada Khamis lalu secara sukarela atas faktor kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI