KAJANG – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu di kawasan Bandar Sungai Long, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian orang hilang itu pada Khamis lalu kira-kira pukul 9.11 malam.
Katanya, individu yang hilang dikenali sebagai Shirly anak Sumping, 21, berbangsa Iban.
“Dia dipercayai kali terakhir dilihat pada Rabu lalu sekitar pukul 5 petang di kawasan No. 28, Jalan SL 7/4, Bandar Sungai Long,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa berbadan gempal dengan ketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat sekitar 60 kilogram, berambut pendek paras bahu dan ketika kejadian dipercayai memakai baju T-shirt merah jambu serta seluar pendek berwarna coklat.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau terus menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nur Diana Ismail di talian 011-1097 5165. – KOSMO! ONLINE














