BEIJING – Sebuah pusat beli-belah di selatan China memasang cermin khas pada pintu bilik tandas lelaki yang bertukar menjadi lut sinar apabila seseorang merokok di dalam kemudahan tersebut, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Langkah melibatkan tandas di Pusat Antarabangsa Shenzhen Shuibei dan Bangunan Shuibei Jinzuo di wilayah Guangdong itu kemudian menjadi tular di media sosial.
Kaca tersebut menggunakan teknologi khas yang biasanya legap dan akan memutuskan bekalan elektrik dalam tempoh beberapa saat selepas mengesan asap, sekali gus menjadikan kaca itu lut sinar.
Pihak pengurusan dua premis tersebut mahu memastikan pengguna tandas menyedari fungsi tersebut melalui notis pada pintu tandas berkenaan menyatakan: “Cermin ini akan menjadi lut sinar jika anda merokok.
“Tahan keinginan untuk merokok jika anda tidak mahu menjadi popular di internet.”
Orang ramai memuji teknologi baharu itu di media sosial.
Seorang netizen menulis: “Akhirnya, ada langkah berkesan untuk menangani perokok.” – AGENSI














