fbpx
Ahmad Zahid (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja di tapak pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk hari ini.

Pusat Data Bagan Datuk beroperasi 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

BAGAN DATUK – Pusat Data yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA Inc., Silver Streams dan Felcra Berhad (Felcra) di sini dijangka siap dan beroperasi pada pertengahan 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pusat data tersebut diklasifikasikan sebagai Tier IV iaitu antara pusat data terbesar dan berkapasiti tinggi di negara ini.

“Insya-Allah, pembangunan pusat data ini bakal membawa manfaat pelaburan, limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada penduduk Bagan Datuk.

“Fasa pertama berkapasiti 10 megawatt (MW) dijangka siap dan mula beroperasi pada pertengahan 2027, manakala fasa kedua berkapasiti 25MW akan disiapkan pada tahun berikutnya,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tapak pembangunan Pusat Data berkenaan serta mendengar taklimat berkaitan Projek Jambatan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk di Kampung Sungai Balai Baroh di sini.

Mengulas tentang projek RTB tersebut, beliau berkata, Berdasarkan penjelasan yang diberikan, isu banjir di Bagan Datuk berpunca daripada beberapa faktor utama.

Ahmad Zahid berkata, antaranya ialah taburan hujan yang tinggi, keadaan semasa lebih 1,900 lintasan air (culvert), keadaan sistem saliran sedia ada yang tidak seragam serta topografi kawasan yang menyebabkan takungan air berlaku di beberapa lokasi sehingga mengakibatkan banjir.

“Bagi menangani isu ini secara menyeluruh, RTB Bagan Datuk Fasa 1 yang bernilai RM87.6 juta telah dirancang, merangkumi kerja-kerja kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di Tebuk Semani sepanjang 0.65 kilometer (km), Parit 8 Barat sepanjang 1.25km dan kolam takungan banjir di Sungai Balai Baroh.

“Projek ini dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun 2026,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan keperluan langkah-langkah jangka pendek dilaksanakan dengan segera.

Katanya, ia termasuk memperkukuh kolaborasi antara agensi, khususnya dalam usaha menambah baik lintasan air dan parit-parit sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir sementara menunggu pelaksanaan projek berskala besar ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN