fbpx
SEBAHAGIAN peserta cilik sedang beraksi dalam Muezza Archery Championship 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam semalam. – AFIQ RAZALI

Pertandingan cari permata pemanah baharu Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bagi mencari pemanah baharu negara, Muezza Archery Academy menganjurkan Muezza Archery Championship 2025 bermula 26 hingga 28 ­Di­sember dalam usaha mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan dengan harapan mereka boleh mewakili negara pada masa hadapan.

Pengurus program Muezza ­Archery Championship 2025, Muhammad Najmi Ismail berkata, sebanyak 573 peserta me­nyertai kejohanan berkenaan termasuk 275 yang menyertai pertandi­ngan peringkat akar umbi yang bermula semalam.

“Ada peserta umur enam tahun yang sertai pertandi­ngan peringkat akar umbi. Bagi pertandingan ini, ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pembangunan dan novice.

“Untuk kategori pembangunan, jarak panahan mereka adalah tujuh meter (m), manakala novice pula, jarak panahan adalah 10 m. Setiap peserta akan memanah sebanyak 10 pusingan, yang mana setiap pusingan peserta akan memanah sebanyak tiga kali.

“Untuk pembangunan, pemenang dipilih berdasarkan mata tertinggi selepas tamat 10 pu­singan. Bagi kategori novice pula, pemenang akan dipilih setelah selesai peringkat kalah mati,” katanya ketika ditemui pada pertandingan itu yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam di sini semalam.

PESERTA berusia semuda enam tahun turut menyertai Muezza Archery Championship 2025.

Menurutnya, pertandingan kategori terbuka akan bermula hari ini hingga esok dengan pertandingan dipecahkan kepada tiga kategori, iaitu bawah 11 tahun, 14 tahun dan 18 tahun.

Bagi kategori ini, kata Muhammad Najmi, kesemua peserta akan memanah pada jarak 18 m dan bertanding pada pusingan kelayakan dan kalah mati.

“Bagi peringkat kalah mati, peserta yang berjaya mendapat enam mata dahulu akan di­pilih sebagai pemenang. Sekiranya mata terikat, pemenang akan dipilih berdasarkan peserta yang paling banyak dapat membidik di bahagian ‘X’.

“Pemenang tempat pertama sehingga ketiga akan mendapat hadiah wang kemenangan berserta trofi. Pertandingan ini mengikut format yang ditetapkan badan antarabangsa memanah,” katanya.

Muhammad Najmi berkata, penganjuran Muezza Archery Championship 2025 mendapat sambutan mengalakkan dengan jumlah penyertaan pertandingan kali ini meningkat berbanding penganjurannya sebelum ini.

MOHAMMAD SHAHID bersama anaknya, Wa’ie Zayyan (kanan).

Sementara itu, napa salah seorang peserta, Mohammad Shahid Paimon berkata, dia mendaftarkan anaknya, Wa’ie Zayyan, 8, memasuki Muezza Archery Championship 2025 untuk memberi pendedahan kepadanya terhadap suasana pertandingan.

“Anak saya masuk kategori novice. Dia terlepas untuk memasuki peringkat kalah mati setelah menduduki tempat ke-16, yang mana hanya 15 peserta sahaja yang dipilih ke peringkat kalah mati.

“Tak apalah bukan rezeki dia untuk menang pertandingan ini. Apapun, saya nampak prestasi Wa’ie Zayyan ada banyak pe­ningkatan.

“Harap dia boleh berjaya dalam sukan memanah ini,” katanya yang berasal dari Seme­nyih dekat sini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN