fbpx
Penghuni yang melarikan diri dari pusat terbabit.

Penghuni lari Puspen Bukit Chabang diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Polis giat memburu seorang penghuni yang disyaki melarikan diri dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang, di sini semalam.

Penghuni itu ialah Ahmad Syamil Shahar, 25, beralamat di Kampung Kubang Pangas, mukim Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah.

Dia telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar untuk menjalani rawatan serta pemulihan di Puspen tersebut selama dua tahun mulai 8 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Sarih Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.07 tengah malam tadi.

“Kehilangan penghuni lelaki disedari pada pukul 4.15 petang semalam semasa sesi roll call apabila pihak Puspen mendapati kekurangan seorang penghuni.

“Sebelum itu, Puspen berkenaan mengadakan hari perjumpaan keluarga dari pukul 3.30 hingga 4 petang,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan, namun individu terbabit gagal dikesan dan disyaki melarikan diri.

“Rentetan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar bertindak pantas melancarkan Op Tutup dengan menggerakkan kekuatan seramai dua pegawai dan 22 anggota polis.

“Tiga sekatan jalan raya strategik didirikan di sekitar daerah Padang Besar bagi memperketatkan kawalan, menghalang pergerakan penghuni dan memastikan keselamatan awam terus terpelihara,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK) iaitu kecuaian penjawat awam membiarkan seseorang lari daripada tahanan dan Seksyen 224 KK iaitu tentangan atau halangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan usaha mengesan individu terbabit giat dijalankan. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi IPD Padang Besar atau Inspektor Muhammad Aziq Alias di talian 019-691 5959 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN