PETALING JAYA – Coretan ringkas daripada seorang pelanggan cilik cukup menyentuh hati seorang penghantar makanan apabila menerima nota penghargaan yang ditulis tangan khas buatnya.
Perkongsian oleh @Harith Sani menerusi aplikasi TikTok tular apabila ramai netizen turut tersentuh dengan mesej ikhlas yang diterimanya daripada kanak-kanak tersebut.
“Terima kasih abang Foodpanda. Terima kasih untuk menghantar makanan untuk kami waktu sedang cuti sekolah. Abang sangat hebat! Kalau saya, saya penat tau!Abang pula, hebat sangat! Semoga abang murah rezeki,” ujarnya.
Walaupun hanya sekeping nota kecil, namun kata-kata itu mampu memberi makna yang besar buat penghantar makanan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen terhadap hantaran berkenaan.
“Alhamdulillah, sejuk perut ibu ayah anak ini, didikan yang sangat bagus, terima kasih rider foodpanda/shopeefood/grabfood! Penyelamat mak-mak bila cuti ni,“ kata @Ctnur_atiqah.
“Siapa la ibu bapa dia. Dia dibesarkan dengan baik! Semoga menjadi anak yang terhormat dan berjaya,” ujar @Erms9.
“Aku pernah dapat macam ni dulu, aku bingkaikan letak kat dinding bilik, setiap kali nak pergi kerja dan rasa malas, ternampak bingkai tu terus jadi rajin,” komen @Azrt36. – KOSMO! ONLINE














