PETALING JAYA – Penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 bertindak menurunkan semua logo berkaitan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia di dalam acara itu serta-merta.
Pihak penganjur menerusi kenyataan memaklumkan, mereka menerima panggilan dan e-mel rasmi daripada pihak berkuasa pelancongan susulan video tular seorang lelaki bertindak sebagai juri memakai gaun pada acara itu.
“Selepas menjalankan semakan dalaman secara serius, kami mengakui sepenuhnya bahawa perkara ini telah menimbulkan kebimbangan besar, khususnya berkaitan sensitiviti agama Islam. Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden tersebut.
“Berkuat kuasa serta-merta, semua logo berkaitan pelancongan, bahan promosi dan sebarang bentuk kaitan yang digunakan di bawah acara ini akan dikeluarkan sepenuhnya. Keputusan ini adalah muktamad dan dibuat dengan kerjasama penuh pihak berkuasa pelancongan,” katanya.
Penganjur juga mengemukakan permohonan maaf susulan insiden tersebut.
“Kami dengan penuh keinsafan dan tanpa sebarang pengecualian memohon maaf atas sebarang penghinaan, salah faham atau keresahan yang timbul akibat insiden ini.
“Kami amat menghormati agama Islam serta semua kepercayaan agama. Kami amat kesal atas kebimbangan yang tercetus dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, penganjur juga komited untuk memperketat garis panduan dalaman, meningkatkan kesedaran budaya serta sensitiviti agama bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarahkan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berhubung isu seorang lelaki didakwa berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dipetik berkata, Jawi juga diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menurunkan kandungan berkaitan di media sosial.
Perkara itu susulan tular seorang lelaki dipercayai juri untuk satu acara, didakwa berpakaian wanita dalam satu majlis bertaraf antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














