JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di di Kilometer 45.6 Lebuh Raya Senai–Desaru, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.37 pagi itu, insiden melibatkan sebuah Proton Saga, Proton Wira dan Perodua Myvi membabitkan tujuh mangsa.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, PBK I Nazarudin Yusof berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi, dua mangsa lelaki berusia 19 dan 21 tahun didapati tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan.
“Mangsa maut melibatkan pemandu Proton Saga seorang lelaki dewasa berumur 21 tahun dan pemandu Proton Wira berusia 19 tahun yang tersepit.
“Seorang penumpang Proton Wira berusia 14 tahun tidak sedarkan diri, manakala dua lagi penumpang alami cedera. Dua mangsa menaiki Perodua Myvi turut alami cedera dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan KKM untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE














