fbpx
Hussein menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

JSJN rampas dadah RM1.04 bilion terbesar di negara ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis berjaya melumpuhkan sindiket antarabangsa terbesar di negara ini yang didalangi warga Asia Timur selepas merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion menerusi Op Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang pada 21 Disember lalu.

Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan enam suspek termasuk tiga wanita dalam Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dijalankan di sekitar Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan yang membawa rampasan cecair disyaki Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) seberat 5,983.36 kilogram (kg) dan serbuk putih MDMA seberat 207.74 kg.

Polis kemudian menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas serbuk kokain seberat 20.273 kg dan sebuk ketamin dengan berat 1.252 kg.

“Siasatan mendapati sindiket ini didalangi warga dari negara Asia Timur yang turut membawa masuk ahli kimia dan bahan prekusor. Mereka menggunakan koordinator dan warga tempatan untuk memproses dadah.

“Siasatan turut mendapati sindiket menyewa 14 premis termasuk empat kilang dengan sewaan sehingga RM10,000 sebulan untuk memproses dan menyimpan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.

Hussein berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion. Ia mampu merosakkan kira-kira 20.7 juta pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat memproses dadah sebelum mengedar bahan terlarang itu ke beberapa destinasi termasuk Hong Kong dan Australia.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menahan baki ahli sindiket termasuk dalang utama.

“Polis percaya sindiket ini mempunyai lebih 12 ahli termasuk dalang dan beroperasi sejak Januari lalu,” katanya.

Hussein berkata, rangkaian sindiket yang ditumpaskan dalam Op Gaharu 1.0 dan 2.0 itu membabitkan rampasan keseluruhan berjumlah 24.7 tan bernilai RM2.6 bilion.

“Ini boleh dikatakan sindiket terbesar yang pernah kita tumpaskan. Malah sindiket ini turut menjalankan pusat panggilan yang diserbu di Kajang Ahad lalu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN