KUALA LUMPUR – Dua beranak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah unit rumah Flat Sentul Utama di Jalan Dato Senu, Sentuldi sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pukul 7.18 pagi berhubung kejadian kebakaran sebuah rumah.
Menurutnya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan BBP Gombak Selatan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran berlaku di sebuah unit rumah melibatkan dua mangsa iaitu seorang ibu dan anak lelaki dewasa.
“Lelaki berusia 58 tahun dan wanita warga emas berusia 82 tahun itu ditemui di dalam tandas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan enam aliran daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar.
“Kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada pada pukul 8.27 pagi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 40 peratus.
“Punca kejadian masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Kebakaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














