JAKARTA – Satu klip video tular di Indonesia memaparkan pasukan polis menyita bahan dipercayai emas yang digali oleh penduduk tempatan selepas bencana banjir kilat mulai surut, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @wartajatimcoid menunjukkan anggota-anggota polis menyeret beberapa guni dipercayai berisi emas di tepi sebuah pantai.
Emas tersebut dirampas kerana dilombong secara haram. Masih belum jelas lokasi kejadian dirakam.
Sebilangan pengguna media sosial menyifatkan rampasan itu sebagai tindakan salah kerana kebanyakan penduduk melakukan aktiviti perlombongan demi memenuhkan keperluan ekonomi.
Rakaman itu mencatatkan lebih 9,900 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kalau dadah, pemilik yang ditahan. Kalau benda berharga disita pula,” kata seorang netizen.
“Sedih jadi penduduk di situ,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














