MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim optimis pasukan mampu kembali berada di landasan kemenangan menjelang perlawanan getir menentang Newcastle United di Stadium Old Trafford, awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Red Devils agak tempang selepas kehilangan beberapa tonggak utama termasuk kapten, Bruno Fernandes yang mengalami kecederaan selain Amad Diallo dan Bryan Mbeumo yang sudah dilepaskan ke siangan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.
Namun, pengendali kelahiran Portugal itu tetap tenang dan berharap pasukan dapat meraih tiga mata penuh selepas tewas kepada Aston Villa minggu lalu.
“Perlawanan pada Boxing Day sangat penting buat peminat kami. Justeru, saya percaya kepada pasukan dan barisan pemain untuk membantu kita kembali meraih keputusan positif,” katanya.
Sementara itu, Amorim turut mengesahkan Casemiro sudah boleh diletakkan dalam kesebelasan utama manakala dua pertahanan tengah, Matthijs de Ligt dan Harry Maguire baru sahaja cergas dan masih lagi dipantau oleh barisan kejurulatihan.
“Saya rasa De Ligt dan Maguire belum bersedia untuk perlawanan ini mungkin pada aksi seterusnya mereka sudah boleh diturunkan,” katanya. – AGENSI














