KUALA LUMPUR – “Anak mangsa sering bakar barang seperti bekas telur di dalam rumah sebelum ini sehingga menyebabkan jiran-jiran di sini bimbang sekiranya berlaku kebakaran.”
Demikian kata seorang jiran kepada dua beranak yang ditemui maut dalam kebakaran di sebuah rumah tingkat 9, Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu dekat Sentul, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 58 tahun dan wanita warga emas berusia 82 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang jiran dikenali sebagai Ani, 57, berkata, dia menyedari kejadian berlaku selepas dihubungi anaknya yang tinggal di hadapan rumah mangsa kira-kira pukul 6.30 pagi.
Katanya, dia segera keluar dari rumah di blok yang sama sebelum melihat asap tebal sudah memenuhi ruang kaki lima menyebabkan wanita itu hampir sesak nafas.
“Ketika anak beritahu, saya suruh mereka selamatkan diri dahulu terutama dua cucu dan mereka berlari menyelamatkan diri ke tingkat bawah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ani berkata, ketika kejadian, terdapat jiran di tingkat atas dipercayai terdengar suara jeritan mangsa (wanita warga emas) meminta tolong sebelum mereka bergegas ke rumah berkenaan.
“Ramai jiran datang nak bantu tetapi situasi sangat cemas dengan asap tebal hingga menyukarkan pandangan,” ujarnya.
Ani berkata, dia sudah mengenali dua beranak berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu yang merupakan antara penghuni terawal di flat itu.
Menurutnya, wanita warga emas itu yang mesra disapa ‘opah’ oleh penduduk tinggal berdua bersama seorang anak lelakinya di rumah berkenaan, manakala tiga anak lain tinggal berasingan.
“Kami memang baik kerana opah seorang yang peramah dan selalu bersembang hampir setiap petang.
“Semalam kebetulan saya jumpa opah ketika ke rumah anak dan kami sempat berbual sekejap dan dia ada pelawa saya ke rumahnya tapi tak sangka hari ini jadi begini,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi jiran yang mahu dikenali sebagai Iza, 40, mendakwa penghuni yang lain juga pernah menasihati anak lelaki wanita itu supaya tidak membakar barang dalam rumah, namun tidak dihiraukan.
Katanya, dia sedih dengan kejadian yang menimpa dua beranak itu dan mengakui mengenali wanita berkenaan sebagai seorang yang baik dan peramah.
“”Sejak opah keluar hospital dua bulan lalu, opah sudah tidak seperti selalu kerana pergerakannya terbatas. Saya pun jarang jumpa opah kerana dia sudah jarang keluar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














