fbpx
Fadil bersama pengamal media pada Majlis Hi Tea Apresiasi Polis Kuala Lumpur bersama Media Tahun 2025 di Grand Millenium Hotel, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

Degil di jalan raya, 313,529 saman dikeluarkan di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tahap pematuhan peraturan lalu lintas dalam kalangan pengguna jalan raya di ibu negara disifatkan membimbangkan apabila sebanyak 313,529 saman dikeluarkan dalam tempoh kurang dua bulan pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (OPU) VUU bermula 1 Oktober lalu sehingga 25 Disember 2025.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jumlah itu meningkat ketara walaupun pihak polis telah melaksanakan tempoh advokasi selama sebulan sebelum penguatkuasaan penuh dijalankan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh advokasi tersebut, sebanyak 76,000 notis peringatan telah dikeluarkan bagi mendidik masyarakat supaya mematuhi peraturan lalu lintas.
“Namun selepas penguatkuasaan penuh dilaksanakan, angka saman yang direkodkan amat mengecewakan dan menunjukkan masyarakat masih gagal mematuhi peraturan, termasuk kesalahan kecil lalu lintas,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Hi Tea Apresiasi Polis Kuala Lumpur bersama Media Tahun 2025 di Grand Millenium Hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak direkodkan melibatkan mengabaikan isyarat lampu trafik, tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, pemakaian helmet tidak kemas, tidak berhenti di lampu isyarat, melanggar garisan putih serta meletakkan kenderaan di kawasan lintasan pejalan kaki.

Menurutnya, daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, sebanyak 246,519 kes melibatkan kenderaan motokar, manakala 56,327 kes membabitkan motosikal, selain kes lain termasuk van atau pacuan empat roda (3,790), teksi (2,661), lori (2,329), penjalan kaki (1,346) dan bas (557).

“Masalah utama Kuala Lumpur ialah kesejahteraan lalu lintas. Sikap mementingkan diri sendiri, halangan lalu lintas dan ketidakpatuhan ini akhirnya menyumbang kepada kesesakan yang serius,” katanya.

Ujarnya, pihak polis tidak akan menghentikan penguatkuasaan dan akan melaksanakannya secara lebih agresif melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar dan pihak masjid bagi memastikan pematuhan undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN