SEREMBAN – Polis kini memburu seorang lelaki warga tempatan disifatkan sebagai antara individu paling berbahaya, dipercayai menjadi dalang utama pembuatan puluhan peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) dalam kejadian yang berlaku di Desa Palma, Nilai Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 63, atau ‘Ayang’, dipercayai bertindak secara bersendirian serta memiliki kepakaran teknikal tahap tinggi dalam menghasilkan bahan letupan berbahaya.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek telah menyewa sebuah rumah kedai di tingkat tiga di Desa Palma kira-kira enam bulan lalu dan telah menjadikan kediaman tersebut sebagai makmal lengkap pembuatan IED.
“Bagaimanapun, dalam kejadian pagi Isnin lalu, salah satu peranti yang dibawa dan dimasukkan dalam sebuah kereta Proton Wira telah meletup, disyaki akibat kesilapan pengendalian.
“Susulan itu, Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) digerakkan untuk melaksanakan pemusnahan secara terkawal, dan kesemua peranti berbahaya berjaya dimusnahkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














