PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan kepada Aceh dan Wilayah Sumatera susulan malapetaka besar yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr. Mahathir berkata, Malaysia berada dalam keadaan selamat disebabkan kedudukan Aceh–Sumatera sebagai ‘benteng semula jadi’ yang melindungi Semenanjung daripada ribut taufan serta bencana besar.
“Di Aceh, 1,000 orang mati di Malaysia, tak ada satu orang pun yang meninggal kerana Aceh adalah pelindung kepada Malaysia dari segala ribut taufan Lautan Hindi. Apabila sampai ke Malaysia sudah tidak jadi ribut teruk lagi. Aceh adalah ‘pelindung benteng’ untuk selamatkan Malaysia.
“Sekarang, mereka menghadapi malapetaka. Sepatutnya, kita beri bantuan kepada mereka sebagai tanda kesyukuran, tanda budi kita terhadap jasa mereka melindungi Malaysia,” katanya.
Dr. Mahathir turut mengimbau semula tragedi tsunami pada 2004 yang memusnahkan Aceh yang disifatkan sebagai ‘benteng’ daripada Malaysia musnah.
“Kita masih ingat, pada 2004 satu tsunami berlaku dan sekali lagi pada ketika itu Aceh hancur, tetapi Malaysia selamat. Jadi, Aceh ini adalah benteng yang menyelamatkan Malaysia.
“Hari ini, mereka hadapi malapetaka tak ada rumah untuk tidur, tak ada tempat, tak ada makan, sebab itu saya berpendapat Malaysia adalah negara yang patut beri bantuan kepada orang Aceh dan Sumatera Utara,” katanya.
Dalam hantaran sama, Dr. Mahathir turut menggesa bantuan disalurkan kepada Komite Peralihan Atjeh (KPA) dan menyertakan butiran perhubungan serta alamat di Banda Aceh untuk dihubungi bagi tujuan bantuan.
Untuk rekod, bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Sumatera termasuk Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat mencatat angka korban tinggi.
Laporan media dan agensi bencana Indonesia memaklumkan jumlah kematian telah melepasi 1,000 dengan ratusan lagi cedera, selain kerosakan besar terhadap rumah serta kemudahan awam. – KOSMO! ONLINE














