MACHANG – Kegembiraan dua beradik bermandi-manda di sungai bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Kelantan dekat Kampung Ulu Sat di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun hilang, manakala abangnya, 16 tahun sempat diselamatkan oleh penduduk kampung.
Saksi kejadian, Muhamad Azam Faiz Anuar, 19, berkata, dia yang sedang perjalanan dari Pasir Puteh untuk pulang ke rumahnya ditahan oleh seorang budak lelaki yang memaklumkan dua rakannya lemas.
“Saya terus menghubungi rakan yang berusia 18 tahun supaya membawa tali untuk menyelamat mangsa lemas. Rakan saya sempat menghulurkan tali dan abangnya ketika itu sedang berpaut pada batu.
“Kami dapat menarik abang mangsa ke tebing, manakala adiknya dibawa arus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohamad Alam Shah Yazid berkata, pihaknya menerima panggilan kevemasan kira-kira pukul 4.33 petang sebelum bergegas keluar ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati seorang remaja lelaki hilang, manakala abangnya berjaya diselamatkan. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dan sehingga kini mangsa gagal ditemukan. – KOSMO! ONLINE














