fbpx
Gambar hiasan

1MDB: Najib bersalah atas 25 pertuduhan dana RM2.3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kesemua pertuduhan itu.

Terdahulu ketika membacakan dapatan mahkamah, Hakim Collin berkata mahkamah berpuas hati bahawa empat pertuduhan (salah guna kedudukan) tidak kabur dan tidak bertindihan di antara satu sama lain.
“Mahkamah menolak hujahan pembelaan bahawa pertuduhan adalah tidak jelas dan saling bertindih menyebabkan kesukaran kepada Najib untuk memahaminya dan menyediakan pembelaan,” kata Hakim Collin.

Dalam isu lain berkaitan pertuduhan itu, Hakim Collin mengatakan tiada pengesahan empat surat yang dikemukakan Najib berhubung bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi selain tiada salinan asal surat berkaitan derma tersebut.

“Pihak pembelaan tidak pernah mengemukakan kepada mahkamah bagi memastikan dana itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.

“Surat itu dipalsukan kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB. Ada jejak kewangan pengesanan dana itu yang menunjukkan ia disalurkan melalui pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore iaitu entiti yang dimiliki oleh ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya.

Tambah Hakim Collin, menjadi suatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu, sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.

Mengikut empat pertuduhan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB didakwa menggunakan kedudukannya ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Kesalahan itu dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Justeru beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia itu telah, mengambil masa keseluruhan selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan pada akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.

Prosiding pada asalnya dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Istana Kehakiman di sini apabila Hakim Collin dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan).

Kes pendakwaan berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 selepas mendengar keterangan 50 saksi.

Pada 30 Oktober 2024, Hakim Collin kemudian memutuskan bekas Perdana Menteri membela diri terhadap semua pertuduhan.

Kes pembelaan didengar selama 58 hari dimulai dengan keterangan bekas Perdana Menteri pada 2 Disember tahun lalu.

Kes ditutup pada 6 Mei lalu selepas mengemukakan 26 saksi pembelaan.

Antara saksi utama yang memberi keterangan semasa peringkat pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adik kepada Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada prosiding itu, Najib diwakili pasukan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI