PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial yang menggelarkan penjenayah dan penyamun sebagai ‘botol kicap’ didakwa menerima pelbagai hinaan dan cacian daripada segelintir pihak sekali gus mengaitkan dirinya bersifat perkauman.
Menerusi video dikongsikan Cikgu Chandra pada media sosialnya, dia menjelaskan kiasan ‘botol kicap’ tersebut selain pernah disamun oleh penjenayah sehingga menerima 12 jahitan pada tangan.
“Botol kicap, diam lah korang, korang terasa sangat, koyak sangat buat apa. Tahun lalu saya pun mangsa samun, tangan ni 12 jahitan, satu tangan tak boleh pakai, orang kurang upaya dah sekarang.
“Pasal lu orang, lu kicap, botol kicap kat Seremban berlaku. Banyak lagi kat luar tu mangsa-mangsa samun. Beberapa aktivis dan peguam ni tak patut wujud kat dunia ni.
“Bagi sokong penjenayah, penyamun buat apa. Ramai kat luar tu mangsa samun, masih trauma dan fobia. Apa you nak jawab, memang korang ni botol kicap lah,” katanya pada video berkenaan.
Cikgu Chandra turut mempertahankan kiasan ‘botol kicap’ tersebut dan dia meminta mana-mana pihak yang terasa untuk menghentikannya.
“Tepuk dada tanya selera. Betul apa saya guna frasa tu. Botol kicap sesuai dengan penyamun, penyangak, penjenayah kat Malaysia. Yang korang terasa sangat, ‘koyak’ buat apa. Hentikan,” katanya.
Pada video lain, Cikgu Chandra berkata, maksud ‘botol kicap’ itu bersamaan dengan masa depan gelap selepas melakukan jenayah.
“Buat jenayah, samun macam-macam diorang buat. Lepas tu masa depan korang gelap, tak cerah. Itu maksud saya, itu kiasan,” katanya.
Menerusi satu lagi video, Cikgu Chandra mendakwa, dia menerima cacian dan makian termasuk menerusi mesej pada aplikasi WhatsApp susulan gelaran ‘botol kicap’ berkenaan.
“Yang hina, masih mencaci, WhatsApp kata-kata kesat sampai (sentuh) mak ayah (dah meninggal dunia). Janganlah berfikiran berkasta rendah, tolong matang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














