TAMPIN – Demi mengurangkan rasa takut serta memberi pengalaman manis buat anak, sepasang suami isteri sanggup pulang ke kampung sejauh lebih 230 kilometer (km) bagi membolehkan dua anak mereka dikhatankan beramai-ramai di Masjid Kariah Sungai Dua, di sini, hari ini.
Amanina Zainudin, 33, berkata, mereka bertolak dari Ulu Tiram, Johor lewat petang semalam dan mengambil masa kira-kira tiga jam lebih untuk pulang, namun kedua-dua anak mereka sudah dimaklumkan untuk berkhatan sejak seminggu lalu.
“Jadi, anak sulung saya, Muhd. Aisy Muaz Mohd. Shahrizal Azwan, sembilan tahun, serta anak kedua saya, Muhd. Aisy Firas, tujuh tahun, sudah teruja serta bertanyakan banyak soalan berkenaan khatan.
“Pagi ini mereka memang benar-benar tak sabar mandi di bawah pancuran air pili bomba dan kami juga memilih teknik berkhatan moden yang menggunakan alat khas (clamp) yang lebih cepat sembuh serta luka cepat kering,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui sempena Program Khatan Perdana Komuniti Kampung Sungai Dua, di Masjid Kariah Sungai Dua, di sini, hari ini.
Pada majlis anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masjid berkenaan, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd Isa telah menyempurnakan simbolik majlis berkhatan dengan semburan air dari jentera bomba.
Sementara itu, Dr Muhammad Kamil Kamaruddin, 33, berkata, sempena musim cuti sekolah ini, Klinik Zahra yang diterajui bersama isteri Dr. Nurul Sheila Fatin Zaidi, 33, sudah menerima lebih 100 permohonan berkhatan menggunakan teknik clamp. – KOSMO! ONLINE














