BANGKOK – Skuad futsal Malaysia B-19 mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan B-19 Asia Tenggara selepas menamatkan aksi Kumpulan B di tangga kedua.
Bagaimanapun pada aksi kedua peringkat kumpulan di Stadium Nonthaburi, sebentar tadi, skuad kendalian Rakhpol Seinetngam terpaksa akur tewas tipis 0-1 kepada Indonesia.
Walaupun tewas, sikap pemain yang kekal melawan untuk tidak dipalit kecewa pada penganjuran kali ini wajar dipuji sekali gus mengelak daripada mengalami kekalahan lebih besar.
Sekalipun memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan, penjaga gol negara, Ammar Harith Mohammad terus cemerlang malah pemain lain turut bekerja keras melakukan halangan setiap kali Indonesia mengatur serangan.
Jaringan tunggal perlawanan terhasil seawal minit pertama menerusi Andika Ferdiansyah dan Indonesia layak selaku juara Kumpulan B dengan maksimum enam mata.
Malaysia layak selepas merekodkan jumlah bolos lebih sedikit berbanding Myanmar yang tewas 1-4 kepada Indonesia.
Terdahulu, skuad negara yang dikejutkan gol awal Indonesia tetap menyerlahkan sikap melawan namun tiada jaringan mampu dihasilkan sehingga tamat separuh masa.
Selepas aksi bersambung, kedua-dua pasukan terus menyerlahkan permainan menarik namun tiada sebarang tambahan jaringan dihasilkan. – KOSMO! ONLINE














