PETALING JAYA – Pas mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat menandatangani statutory declaration (SD) sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Malah katanya, tindakan itu bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.
“Tindakan ini berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Nenggiri sebelum ini.
“Bersatu ketika itu telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD.
“Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN,”kataya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sebagai rakan dalam gabungan utama PN, Pas yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.
“Pas sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya,”katanya.
Terdahulu katanya, Pas telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga orang ADUN Pas kerana parti ini tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah.
Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, Pas berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek.
Pada masa sama, beliau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong Pas agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan.-KOSMO! ONLINE














