KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, FC Risto Vidakovic mengakui pasukannya boleh menewaskan Kuching City sekiranya dihadiahkan sepakan penalti selepas Safawi Rasid dijatuhkan pada penghujung saingan.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan The Cats meraih gol hasil penyudah Ronald Ngah Wanja sebelum Safawi berjaya menyamakan kedudukan.
Menurut Vidakovic, pemain Kuching telah melakukan kekasaran ke atas Safawi dan sepatutnya sepakan penalti diberikan.
“Saya melihat dengan jelas menerusi video selepas perlawanan. Jersi Safawi ditarik dari belakang.
“Ia adalah sentuhan kerana menyebabkan Safawi terjatuh. Bagi saya, ia adalah sepakan penalti yang sangat jelas,” katanya selepas tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan Kuching City dan KL City masih lagi sukar dipisahkan dalam memburu kedudukan kedua liga apabila mengutip 25 mata selepas mengharungi 12 perlawanan. – KOSMO! ONLINE














