JOHOR BAHRU – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan nilai jualan RM9.8 juta sempena Festival Kraf Johor 2025 (FKJ 2025).
FKJ berlangsung selama 12 hari bermula 18 hingga 29 Disember ini di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall di sini.
Ketua Setiausaha Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, sasaran itu realistik berdasarkan penyertaan 251 usahawan dan komuniti kraf dari seluruh negara, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi dan daya saing industri kraf tempatan.
Menurutnya, sasaran jualan tersebut melibatkan lima bidang utama kraf iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf yang menjadi tunjang kepada ekonomi kreatif negara.
“Festival ini bukan sekadar platform jualan, malah menjadi medan strategik untuk memperluas pasaran usahawan kraf, termasuk menembusi sektor korporat, perhotelan dan pembeli berskala besar.
“FKJ 2025 turut berfungsi sebagai platform padanan perniagaan yang mempertemukan usahawan kraf dengan syarikat pengeksport, agensi kerajaan serta pusat beli-belah bagi membuka peluang kontrak jangka panjang,” katanya pada sesi Jelajah Mesra FKJ 2025 di Padang Akasia, baru-baru ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Kraftangan Malaysia, Mohd. Al-Hafizi Ab. Bakar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, penglibatan lima agensi utama iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Tourism Johor, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Galeri Aura Islam turut memperkukuh ekosistem industri kraf negara.
Katanya, festival anjuran Motac itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik bagi menarik kehadiran pengunjung, sekali gus merancakkan jualan sepanjang penganjurannya.
“Antara pengisian utama termasuk jualan kraf, demonstrasi kraf oleh Adiguru Kraf, persembahan kesenian, program pengembangan ilmu, permainan rakyat serta pelbagai pertandingan berkaitan seni dan warisan,” ujarnya.
Beliau menambah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan secara langsung demonstrasi pembuatan kraf tradisional seperti Wau Merak Johor, Gendang Kempling, Jong, Gasing dan Anyaman Buluh, sekali gus meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap nilai seni warisan tempatan.














