PETALING JAYA – Ujian bertimpa hadir dalam hidup penyanyi, Ziana Zain apabila ibunya, Robiah Abdul menghembuskan nafas terakhir, genap empat bulan selepas pemergian bapa tercinta.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 56, ketika berkongsi berita duka itu memaklumkan, ibunya meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Klang pada usia 74 tahun akibat kanser hati.
“Ya betul, nak meninggal dunia kira-kira pukul 10.42 malam tadi. Sekarang jenazah masih berada di hospital dan kami sedang menguruskan keperluan berkaitan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah itu, arwah ibunya berjuang melawan kanser hati sejak sekian lama sebelum penyakit tersebut merebak ke beberapa organ dalaman lain.
“Mak menghidap kanser hati. Penyakit itu sudah merebak ke usus dan buah pinggang. Keadaan mak semakin lemah sejak kebelakangan ini,” katanya.
Kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu berkata, jenazah ibunya dijangka dikebumikan pada pukul 10 pagi esok selepas semua urusan hospital selesai.
Bapa kepada Ziana, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, 87, meninggal dunia pada pukul 3.32 petang, 26 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE.














