KETIKA kos sara hidup terus meningkat dan pasaran kewangan global tidak menentu, rakyat Malaysia semakin berhati-hati baik dalam menguruskan simpanan sendiri, mahupun sekadar untuk memulakan tabiat menyimpan.
Ketidaktentuan ekonomi, turun naik pasaran saham serta perubahan dasar global menjadikan persoalan ‘di mana patut saya simpan duit?’ kini semakin relevan.
Dalam landskap mencabar ini, Amanah Saham Bumiputera (ASB) sekali lagi membuktikan daya tahan apabila berjaya mengekalkan pengagihan pendapatan yang stabil tahun ini.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Jumaat lalu mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk ASB bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.
Bersamaan pulangan tahunan 5.75 peratus, kadar agihan ini melibatkan pembayaran keseluruhan RM10.4 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit di seluruh negara.
Ia merupakan jumlah pengagihan tahunan tertinggi sejak ASB ditubuhkan, satu pencapaian yang menyerlahkan daya tahan dana ini dalam apa jua keadaan pasaran.
Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih bermakna ialah konteks persekitaran pasaran semasa.
Tahun 2025 menyaksikan pasaran ekuiti domestik berdepan pelbagai cabaran, termasuk aliran keluar dana asing yang berterusan, mencecah RM20 bilion secara kumulatif. Indeks penanda aras, FBM KLCI pula mencatat pulangan harga negatif sekitar -0.3 peratus setakat tahun ini.
Tambahan pula majoriti aset ASB dilaburkan dalam pasaran domestik, dengan 53.9 peratus daripada keseluruhan asetnya adalah dalam ekuiti awam domestik setakat Oktober lalu.
Namun di sebalik semua ini, ASB masih mampu mengekalkan kadar agihan yang sama seperti tahun sebelumnya, menjanjikan ketenangan fikiran kepada para penyimpan unit amanah harga tetap ini.
Sementara berbanding instrumen simpanan lain, prestasi ASB kekal kompetitif melebihi kadar purata Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.29 peratus, dengan jurang sebanyak 346 mata asas.

Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat.
“Agihan kali ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB.
“Kami menyedari cabaran yang lebih besar iaitu kekurangan simpanan dan keperluan untuk memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Berikutan itu, kami merancang untuk mempergiatkan usaha literasi kewangan kami, berpandukan matlamat kami untuk mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” katanya.
Harapan 2026
Memasuki tahun baharu, PNB akan berada pada tahun kedua pelaksanaan pelan strategik tiga tahun, LEAP 6 yang antara lain menyasarkan pertumbuhan Aset Di Bawah Pengurusannya (AUM) kepada RM400 bilion menjelang 2027, daripada RM364 bilion ketika ini.
Meskipun cabaran utamanya masih mengenai tahap kecenderungan menyimpan dan melabur yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, rata-rata anggota masyarakat dilihat memberi kepercayaan kepada PNB.
Jumlah pemegang akaun unik ASNB kekal stabil pada 13 juta, disokong oleh pertambahan kasar sebanyak 560,000 pemegang akaun sepanjang tahun ini, mencerminkan kepercayaan dan kesetiaan orang ramai yang berterusan.
Berdasarkan Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2024 & 2025, 64 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka memilih untuk melabur bersama ASNB.
Lebih membanggakan, ASNB lebih popular dalam kalangan generasi masa depan, dengan 69 peratus daripada responden Gen Z menyatakan mereka melabur bersama ASNB, lebih tinggi daripada kumpulan Milenial (66 peratus) dan Gen X (57 peratus).
Selain itu, ada berita baik buat pelanggan Muslim, yang mana PNB bercadang untuk memperkenalkan pilihan pembayaran zakat secara khultah (berkumpulan) bagi semua dana harga tetap ASNB menggunakan pendekatan Al-Mustaghallat.
Ia dijangka ditawarkan bermula suku tahun kedua 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Pengiraan berdasarkan kaedah Al-Mustaghallat ialah jumlah agihan pendapatan ditolak dengan kadar zakat sebanyak 2.57 peratus jadi berdasarkan pengagihan ASB tahun ini sebagai contoh, mereka yang memilih untuk membayar zakat akan menerima 5.6 sen seunit.
PNB akan mempergiatkan usaha meningkatkan simpanan rakyat Malaysia berasaskan kepada kempen #KitaGenerasiLabur, inisiatif simpanan berkala digital Auto Labur, dan Pandu Impianmu, disokong oleh pemangkin baharu seperti pilihan pembayaran zakat.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, #KitaGenerasiLabur adalah seruan pihaknya kepada rakyat Malaysia merentasi semua generasi supaya mengubah pemikiran dan mengambil tanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka dengan memulakan simpanan dan pelaburan lebih awal, melabur secara berkala, serta mengekalkan disiplin.
“Analitik yang dipertingkatkan membolehkan kami memahami tingkah laku pelanggan dengan lebih baik, seterusnya melaksanakan kempen yang lebih bersasar bagi menangani perubahan tingkah laku tersebut.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal berhati-hati terhadap prospek pelaburan bagi 2026, memandangkan pasaran modal global terus menghadapi ketidaktentuan dan turun naik di tengah-tengah perubahan struktur landskap ekonomi global.
“Ini termasuk gangguan dasar perdagangan dan kebimbangan terhadap potensi kemungkinan penilaian berlebihan, terutamanya dalam pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.














