fbpx
Gambar Hiasan

Apa yang perlu anda selesaikan sebelum 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang layak masih ada masa untuk menikmati peluang diberi kerajaan sebelum menjelang 1 Januari 2026.

Antara perkara yang perlu anda selesaikan sebelum tahun baharu adalah berbelanja Sumbangan Asas Rahmah (Sara) atau diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 50 peratus.

Pemberian Sara one-off sebanyak RM100 diberikan secara kredit melalui MyKad kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos dan bakal berakhir 31 Disember ini.

Menerusi laporan sebelum ini, setakat 17 Disember lalu, lebih 20 juta atau 92 peratus daripada 22 juta rakyat Malaysia telah berbelanja bantuan tersebut dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 juta.

Begitu juga dengan pemberian Sara bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), penerima yang layak perlu membelanjakannya sebelum 31 Disember ini memandangkan ia tidak boleh dibawa ke tahun hadapan.

Bagi pemberian diskaun saman JPJ 50 peratus, ia ditawarkan kepada pengguna jalan raya untuk tempoh dua bulan bermula 1 November hingga 30 Disember.

Tawaran diskaun tersebut turut ditegaskan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli kepada mereka yang masih mempunyai saman tertunggak dan ia terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun iaitu perlu dibawa ke mahkamah.

Diskaun itu juga bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

Aedy Fadly juga dipetik berkata, orang ramai diharap dapat mengambil peluang menerusi pemberian diskaun itu memandangkan bermula 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum termasuk saman JPJ dan saman polis.

Selain itu, bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh merebut peluang melalui Kempen Lestari Pendidikan yang tamat pada 15 Disember lalu, dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Kempen ini bermula pada 15 Oktober untuk memudahkan peminjam membayar balik pinjaman dan terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah PTPTN yang mempunyai tunggakan berjumlah RM500 dan ke atas.

Peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.

Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman dalam tempoh kempen, serta berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Seterusnya, ingatan buat pemilik kenderaan elektrik (EV) yang mana sebelum ini pengecualian cukai jalan diberikan kepada mereka akan tamat tempoh pada 31 Disember ini.

Justeru mulai 1 Januari 2026, pemilik EV perlu bersedia untuk membayar cukai jalan berdasarkan struktur baharu yang diperkenalkan iaitu dengan kadar minimum RM20 dan maksimum sehingga RM850 bergantung kepada kuasa motor elektrik.

Sebelum ini, kerajaan menawarkan pengecualian sepenuhnya cukai jalan untuk EV sebagai galakan penggunaannya dalam kalangan rakyat, bermula 1 Januari 2022 dan tamat 31 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN