SERBUAN di sebuah pusat kesihatan atau spa yang menjadi tumpuan lelaki dipercayai gay di Chow Kit, Kuala Lumpur secara tidak langsung telah meninggalkan titik hitam dalam perjalanan tahun 2025.
Ia telah membuka mata masyarakat tentang bagaimana parahnya gejala hubungan songsang di negara ini. Perkara itu hanyalah secebis daripada realiti semasa kerana situasi sebenarnya lebih besar.
Isu hubungan sejenis bukan lagi sekadar melibatkan aktiviti yang bertumpu di tempat-tempat tertentu, tetapi juga sudah meluas dalam talian dan lebih parah melibatkan anak muda menjual diri dan maruah.
Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Ariyanti Mustapha, ada generasi muda menganggap hubungan sesama jenis adalah ‘selamat’ kerana sukar disabitkan dengan tindakan.
“Perhubungan luar tabi‘i yang semakin meningkat telah menunjukkan wujudnya pengaruh signifikan daripada video lucah yang mudah dimuat turun melalui aplikasi media sosial.
“Sikap pasangan sejenis yang sering dilihat sebagai lebih penyayang, berlemah lembut dengan pasangan serta menunjukkan ekspresi emosi yang positif berbanding dengan pasangan heteroseksual dalam menyelesaikan sesuatu konflik, menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan hubungan sejenis di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, tayangan filem dan drama dari negara Barat dan Korea yang memaparkan hubungan sesama jenis sebagai satu norma sosial turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penerimaan dan kecenderungan terhadap hubungan sesama jenis yang semakin berleluasa di Malaysia.
Kata Ariyanti lagi, fenomena hubungan sejenis yang semakin berleluasa di Malaysia perlu dibendung melalui pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek perundangan, keagamaan, dan sosial.
“Peranan masyarakat termasuk jiran tetangga, institusi pendidikan, dan rakan sekerja penting sebagai pihak yang peka terhadap tingkah laku berisiko serta mampu melaporkan salah laku yang wajar ditangani sejak awal sebelum ia berkembang menjadi lebih serius.
“Pada masa sama, pemahaman dan kepatuhan terhadap ajaran agama perlu diperkukuh sebagai asas utama dalam membentuk tingkah laku individu agar selari dengan piawaian syarak serta tidak bercanggah dengan fitrah dan norma semula jadi manusia,” ujarnya.
Berdasarkan ulasan daripada Ariyanti, penulis fahami bahawa usaha membanteras gejala hubungan sejenis bukanlah sekadar menyerbu ‘pusat gay’ tetapi ia perlu diteliti secara mendalam dan secara akar umbi.
Semua pihak tidak boleh menutup mata dengan situasi dalam talian, kewujudan istilah dark side dan ‘chudai’ adalah kata kunci untuk melihat bagaimana aktiviti songsang secara berani ini berlaku dalam talian.














