MARRAKESH – Juara bertahan, Ivory Coast memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 dengan langkah kanan selepas menang 1-0 ke atas Mozambique pada aksi Kumpulan F di Stadium Marrakesh awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan menerusi bintang Manchester United, Amad Diallo memastikan skuad The Elephants mengutip tiga mata berharga dan berkongsi kedudukan dua teratas bersama Cameroon.
Jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae mengakui gembira dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya meskipun sekadar mencatat kemenangan tipis selain mengharapkan prestasi lebih baik selepas ini.
“Kami bertemu satu pasukan yang sangat bagus tetapi masih mampu untuk menghalang mereka daripada menjaringkan gol. Saya boleh nampak semua pemain bermain sebagai satu pasukan dan saling bekerjasama.
“Mereka menunjukkan kualiti sama seperti ketika sesi latihan dan saya sangat gembira. Bagaimanapun, masih ada aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi penyudah dan membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, Amad menyuarakan rasa bangga kerana dapat menyarung jersi pasukan kebangsaan selain menganggap mereka sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar pada perlawanan tersebut.
“Saya sangat bangga dengan diri sendiri kerana inilah saat yang dinantikan sejak sekian lama, iaitu untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan. Kami menang tetapi sepatutnya keputusan perlu lebih daripada 1-0,” ujarnya. – AGENSI














