AGADIR – Gol seawal minit keenam menerusi Karl Etta Eyong memastikan Cameroon mengutip tiga mata penting pada aksi sulung Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 ketika menewaskan Gabon 1-0 di Stadium Adrar awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan Cameroon berkongsi kedudukan dua teratas dalam saingan Kumpulan F bersama juara bertahan, Ivory Coast yang turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Mozambique.
Permulaan positif itu pastinya memberi keyakinan baharu buat skuad The Indomitable Lions apabila mereka gagal untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung tahun depan.
Jurulatih Cameroon, David Pagou meluahkan rasa gembira dengan kemenangan sulung diraih dalam penampilan sulung bersama pasukan tersebut selepas beliau menggantikan Marc Brys yang dipecat.
“Satu kemenangan yang cukup penting buat pasukan kerana ia memberi lebih keyakinan kepada semua pemain. Kami tidak memiliki banyak masa untuk melakukan persiapan sebelum ini tetapi pemain-pemain dapat mempamerkan aksi terbaik.
“Ada antara mereka yang baru melakukan penampilan sulung di AFCON tetapi dapat bermain dengan cukup yakin. Kami perlu bersedia dan menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.
Selepas ini, Cameroon akan berdepan aksi sukar apabila bakal membuat perhitungan menentang Ivory Coast pada perlawanan kedua peringkat kumpulan di Stadium Marrakesh 29 Disember ini. – AGENSI














