KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) memiliki pendirian tersendiri dan belum tentu mengikut jejak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membatalkan keputusan skuad Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam tahun ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya berdepan ujian berat selepas tiga aksi persahabatan antarabangsa menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin telah dibatalkan oleh FIFA minggu lalu selepas menurunkan pemain yang tidak layak.
Situasi itu menyaksikan spekulasi bahawa AFC selaku badan induk bola sepak Asia sedia untuk mengenakan hukuman yang sama terhadap skuad negara kendalian Peter Cklamovski itu
Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menafikan segala dakwaan tidak tepat yang telah tular di laman sosial ketika ini.
Windsor Paul berkata, pihaknya masih belum lagi ada sebarang ketetapan dan kekal dengan prinsip untuk menunggu keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) nanti.
“Tidak betul (spekulasi laman sosial mengenai hukuman AFC buat skuad Harimau Malaya). Buat masa ini kita masih menunggu CAS. Keputusan FIFA juga baru sahaja keluar dan kita kena buat semakan dahulu,” katanya kepada Kosmo!.
Selain pembatalan keputusan menentang Nepal dan Vietnam, spekulasi yang bertebaran ketika ini turut menyebut bahawa Harimau Malaya berdepan risiko untuk digantung daripada menyertai Piala Asia 2027 dan 2031
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan persahabatan yang dijalani pada aksi tahun ini.
Keputusan itu dibuat selepas Harimau Malaya menurunkan pemain warisan yang didakwa atas pemalsuan dokumen seperti Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Lebih malang, keputusan FIFA menyaksikan ranking skuad Harimau Malaya jatuh lima anak tangga selepas berada di kedudukan ke-121 dunia berbanding posisi 116, bulan lalu.














