SEBERANG PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memeriksa sebanyak 229 premis industri menerusi Operasi Gempur dan Lembangan bermula Januari hingga 15 Disember lalu.
Pengarah JAS Pulau Pinang Badlishah Ahmad berkata, 215 arahan di lapangan dan 70 Notis Arahan dikeluarkan sepanjang operasi berlangsung.
“Satu penahanan operasi kelengkapan dan 44 kertas siasatan tawaran kompaun telah dibuka melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) (Efluen Perindustrian) 2009, PPKAS (Kumbahan) 2009, PPKAS (Udara Bersih) 2014 dan PPKAS (Buangan Terjadual) 2005,” katanya di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 11 Operasi Hazard dan Lusuh berjaya dilaksanakan dengan 23 premis industri diperiksa.
“Sebanyak lapan kertas siasatan berjaya dibuka dengan empat kes selesai dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM180,000 manakala empat kes lagi masih dalam tindakan mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














